PM beri anaknya satu tugas khas yang perlu mereka buat. Kali ni Dafi terpaksa kerja keras dan abaikan apa orang kata.

Bagi memastikan dirinya tidak ketinggalan daripada perkembangan semasa, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ada ‘pegawai khas’ yang berkhidmat untuknya tanpa mengira masa. Menurut Dafi, bapanya itu selalu meminta dia dan adik-beradiknya membuat tangkap layar (screen capture) hantaran berkaitan sesuatu isu di media sosial untuk dimaklumkan kepadanya.

“Sekali-sekala ayah akan minta pandangan dari anak-anak sebab dia nampak kami dah matang dan boleh faham situasi semasa. Selain itu, ayah juga rajin meminta bantuan kami untuk menangkap layar berkenaan sesuatu isu yang sedang hangat diperkatakan. Ia supaya ayah dapat memahami apa sebenarnya yang berlaku agar tiada kejadian membuatkan dia terkejut sendiri,” katanya kepada Malaysiakini.

Selain Dafi, hasil perkongsian Ismail Sabri dengan Muhaini Zainal Abidin, pasangan itu turut dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Nina Sabrina, 34, Nashriq, 29, dan Iqbal, 24. Ismail Sabri diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab besar sebagai perdana menteri tidak sampai dua selepas menjadi timbalan perdana menteri.

Pelantikannya itu adalah bagi mengisi kekosongan selepas Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri kelapan pada 16 Ogos lalu susulan kehilangan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Sentiasa utamakan keluarga

Bercerita mengenai perwatakan Ismail Sabri, bekas peserta realiti program Akademi Fantasia musim kelima itu menyifatkan, bapanya itu adalah lelaki yang sentiasa mengutamakan keluarga. Menurut Dafi, 32, dalam kesibukan menguruskan hal ehwal negara, tanggungjawab yang digalas tidak menghalang Ahli Parlimen Bera itu mencuri sedikit masa untuk diluangkan bersama anak-anak.

“Sayalah yang membesar dan melihat bagaimana ayah jarang berada di rumah kerana sibuk dengan tugas-tugasnya. Saya tak harap orang dapat faham bab tu. Dan bila dia dilantik menjadi perdana menteri, memang saya tak jangka hal macam tu. Tapi saya tak risau sebab sebelum ni lagi, ayah dah pernah galas banyak tugas di beberapa kementerian berlainan. Secara peribadi, setakat ni saya lihat dia seorang yang mengutamakan keluarga, macam mana sibuk sekali pun dia akan ambil masa tu sikit untuk diluangkan bersama kami,” katanya.

Namun kata Dafi, meskipun dihimpit tugas-tugas mencabar, Ismail Sabri tidak pernah pulang dari kerja dengan bermasam muka apatah lagi membawa sebarang masalah di pejabat ke rumah.

“Ayah seorang yang sangat tenang. Setiap kali saya bertanya, jawapannya OK saja. Selalunya bila dia tinggalkan kerja di pejabat, dia pulang dan fokus pada keluarga,” katanya.

Ditanya alasannya mengapa tidak mengikut jejak langkah ayah dalam bidang politik, Dafi berkata: “Kami memang suka berdepan dengan orang ramai namun melalui pendekatan yang berbeza.” Bagi Dafi, apa didepani ayahnya selama ini dalam arena berpolitik tidak mungkin dapat dilakukannya sendiri dengan mudah.

“Pendekatan ayah dengan orang ramai adalah melalui politik manakala saya melalui nyanyian dan menari. Bidang seperti ni lebih sesuai untuk saya. Secara jujur, saya belum tentu dapat hadap apa yang ayah harungi sepanjang dia memegang jawatan dalam politik,” katanya

Dafi belajar ‘pekakkan telinga’ hadapi cabaran baru sebagai anak PM

Kini ‘menggalas’ status berprofil tinggi iaitu sebagai anak perdana menteri kesembilan Malaysia, Dafi sedar ada cabaran berbeza di hadapannya.

Pun begitu, penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim kelima itu berkata, dia yakin sudah bersedia secukupnya bagi menghadapi cabaran berkenaan.

Menurut Dafi atau nama penuhnya Gadaffi Ismail Sabri, sebelum ini pun nama bapanya itu sudah sering dikaitkan dengannya secara tidak langsung, justeru dia agak sudah terbiasa dengan situasi seperti itu.

“Pasti akan ada pihak mengaitkan nama ayah dengan karier yang diceburi, tapi saya sudah bersedia dari segi fizikal, mental dan emosi. Selama ni juga saya dah biasa terdengar orang berkata: dia macam tu, macam ni, sebab ayah dia. Tapi, apa yang boleh saya lakukan ialah harus bekerja keras. Saya juga kena belajar untuk pekakkan telinga serta berikan hasil yang terbaik ikut kemampuan diri,” katanya kepada Malaysiakini.

Ismail Sabri merupakan ahli parlimen Bera selama tiga penggal iaitu sejak 2004. Dia meniti kerjaya politik dari bawah dan mula menjadi anggota kabinet sejak memenangi kerusi berkenaan.

Perlu lebih berhati-hati

Bermula sebagai menteri belia dan sukan Ismail Sabri kemudian bertukar beberapa kementerian termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Dalam parti kedudukan terkini Ismail Sabri ialah sebagai naib presiden Umno dan sempat menjawat tugas sebagai timbalan perdana menteri sebelum dilantik menjadi perdana menteri tidak sampai 50 hari kemudian.

Meskipun bapanya diberi kepercayaan untuk menggalas jawatan penting dalam negara, Dafi, 32, berkata dia akan kekal seperti Dafi yang dulu kerana apa yang dicapainya adalah hasil kerja keras sendiri.

“Insya-Allah, saya akan kekalkan menjadi diri sendiri. Saya juga jarang bercakap mengenai politik malah sedar ada kalangan peminat yang memiliki fahaman politik yang berbeza.

“Justeru, saya tidak mahu cakap berlebihan mengenai sesuatu yang bukan bidang saya. Saya cuma tak mahu cetuskan perkara yang tak wajar,” katanya.

Ditanya jika timbul kebimbangan andai terdapat mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan dengan mendekati dirinya ketika ini, Dafi berkata, dia perlu berhati-hati. Jelasnya, individu yang cuba mengendeng memang wujud, cuma dia akan sentiasa menjauhkan diri daripada sesiapa yang bersikap atau membawa aspek negatif.

“Semasa ayah disebut-sebut akan jadi perdana menteri, berita belum sah lagi, baru khabar angin saja, dah mula (dihampiri individu yang mengendeng). Tapi sejujurnya saya tak kisah asalkan dia datang secara baik,” katanya.

Tambah Dafi beberapa tahun lalu pun dia pernah berdepan dengan situasi sama apabila ada individu yang mahu ‘menumpang tuah’ daripadanya.

Namun katanya dia selalu berhati-hati dan akan menjarakkan diri apabila muncul sesuatu yang membuatkan rasa tidak selesa atau mengesan tiada keikhlasan daripada mereka. Sementara itu, mengulas perkembangan kerjaya seninya, Dafi berkata, dia kini membintangi filem komedi seram, Ada Hantu, arahan Hairul Azreen yang ditayangkan di platform digital, Disney+ Hotstar.

Selain itu, menurutnya, sebelum penularan wabak C0vd19, dia juga sudah merakamkan single terbaru bersama Altimet. Bagaimanapun ia tidak sempat dilancarkan ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Apabila PKP dilaksanakan, ia menghalang saya untuk keluarkan single tersebut begitu saja. Tambahan pula saya sudah lama tak aktif dalam industri. Saya berasakan perlu lakukan strategi promosi terlebih dulu. Sasaran saya adalah untuk menerbitkan single tersebut selepas PKP,” katanya. Sumber  :  http://trendingsangat.pw/

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *