Selepas tular kenaikan harga minyak masak botol. Kini minyak masak ini pula mendapat tumpuan.

Johor Baharu: Minyak masak paket bersubsidi yang dijual pada harga RM2.50 sekilogram kini menjadi rebutan orang ramai sejak harga minyak masak botol melonjak naik. Tinjauan di Plentong dan Tampoi, di sini, mendapati beberapa kedai runcit turut kehabisan stok minyak masak paket berikutan bekalan berkurangan.

Namun, beberapa kedai runcit lain pula didapati masih mempunyai bekalan minyak masak paket yang baru tiba sejak semalam. Pekerja kedai runcit, Saiful Nizam Ahmad, 27, berkata penghantaran stok minyak masak paket satu kilogram (kg) tidak konsisten menyebabkan ada kawasan yang terputus bekalan itu sejak seminggu lalu. Katanya, majikannya juga baru menerima bekalan minyak masak paket, semalam selepas terputus stok sejak seminggu lalu.

“Minyak masak paket satu kg memang menjadi rebutan sekarang, malah ada pembeli menuduh saya menyorok bekalan selepas kedai terputus bekalan. Alhamdulillah, tiga kotak minyak masak paket baru tiba semalam walaupun pesanan dibuat lima kotak. Pembekal menyatakan stok minyak masak paket mendapat permintaan luar biasa. Majikan saya terpaksa mengehadkan pembelian dua paket sahaja bagi setiap pembeli bagi membolehkan lebih banyak pengguna dapat membelinya,” katanya ketika ditemui, hari ini.